Boy Iman bagi 'hadiah istimewa' untuk Nassier Wahab

Pada: Jumaat, 19 Mei 2017

Datuk Nassier Wahab, yang baru saja dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) di Istana Abu Bakar, 15 Mei lalu, kini menerima pula sebuah banglo.

Beliau dihadiahkan kediaman terbabit selaku duta kepada sebuah syarikat hartanah DBI Technology yang dimiliki oleh Boy Iman. Boy bermurah hati menghadiahkan banglo berharga RM150,000 terletak di Kapar, Klang, Selangor, sebagai menghargai perjuangan kepada penyanyi itu yang bergelar anak seni selama 32 tahun.
"Semua kurniaan yang diterima ini bagai nikmat berganda buat saya. Ia juga umpama hadiah paling bermakna sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-55, pada 18 April lalu.

"Bukan saja diumumkan sebagai duta syarikat berkenaan, saya juga dihadiahkan sebuah banglo. Kediaman yang saya terima ini juga tak jauh daripada tempat tinggal saya sekarang di Bukit Raja," kata Nassier.
Terikat selama dua tahun sebagai duta, katanya, tugas beliau adalah lebih kepada mempromosi pakej perumahan baharu dan mampu milik untuk pelanggan.
"Saya sendiri sudah lebih 20 tahun mengenali Boy Iman. Sambil membantu perniagaannya, dapat juga saya menolong beliau mempromosi apa yang diusahakannya itu.

"Dalam hal ini, kita berusaha mendidik masyarakat untuk membeli rumah pada usia muda. Jangan tunggu hingga usia sudah lewat baru nak memiliki rumah sendiri. Rumah ialah aset dan keperluan, jadi jangan kita ambil mudah soal berkenaan," katanya kepada BH Online.

Tag : , , , , ,