Kisah Zarina Zainuddin membesarkan 2 anak Autisma buat pembaca sebak!

Pada: Isnin, 4 Julai 2016
Pasangan kembar iaitu Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai merupakan anak istimewa buat Zarina dan masing-masing mempunyai karakter yang berbeza.

Namun, pengorbanan dan kasih sayang yang dicurah membuatkan kami faham apa maksud cinta sebenar. Kisah benar yang dikongsi ini turut meruntun hati orang ramai yang membacanya.

Kata Zarina, walaupun orang di sekeliling tidak memahami situasi sebenar kembar autistik ini dan pernah dicaci akibat kelakuan aneh dua anaknya, Zarina tidak pernah berang mahupun memarahi mereka kembali, namun di sebaliknya, Zarina sentiasa merendah diri dan memohon maaf atas kekhilafan tingkah laku anaknya.

Sungguh menyayat hati. Semoga ibu-ibu di luar sana yang turut mempunyai anak autistik bertabah dan cekal menangani anak istimewa ini , Mari kita ikuti kisah lanjut kembar Azal dan Azil ini..

Azal Bersekolah, Azil Tidak Bersekolah, namun pada Azal umur 18 tahun, saya ambil keputusan…
Tidak, Azil tidak dapat dihantar ke sekolah kerana dia hiperaktif, sukar dikawal berbanding Azal. Saya sedih kerana pihak sekolah sendiri menolak untuk menerima Azil, maka Azal sahaja yang berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah. Tetapi semasa Azal berumur 18, saya mengambil keputusan untuk menghentikan persekolahannya.

Keputusan drastik itu kami ambil setelah berlaku satu peristiwa yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Ia berlaku lebih kurang dua tahun dahulu, sewaktu Azal menyertai rombongan jamuan Hari Raya anjuran sekolah.

Waktu Maghrib sudah masuk. Saya pulang sekejap untuk bersolat Maghrib terlebih dahulu kerana rombongan sekolah yang dijanjikan tiba sekitar jam enam lebih, masih belum tiba-tiba.
Azal Pernah Hilang di sekolah, Jantung rasa seperti tercabut…
Setibanya saya di sekolah untuk menjemputnya, cikgu dengan wajah selamba memberitahu, “Dia sudah balik dengan kawan dia, puan.” Jantung saya seperti terputus dari tangkainya. Jatuh melesat ke kaki!

Anak saya bukannya normal. Mengapakah cikgu tergamak melepaskan dia melangkah keluar dari pagar sekolah begitu sahaja? Saya melilau mencari Azal, separuh sasau rasanya. Bagaimana jika dia terjun ke tengah-tengah jalan raya? Dirempuh kereta? Digilis lori?
Azal berjalan kaki sesat dan melintas jalan raya yang sibuk, bagaimana kalau dilanyak lori atau bas?
Takdir Allah, wartawan majalah Harmoni, Ros, terjumpa Azal di tepi kedai 7-Eleven sekitar jam sembilan malam, berbaju Melayu, dalam keadaan berpeluh-peluh dengan muka sesat keliru. Bayangkanlah, dia berjalan kaki dari Bandar Sunway dekat Petron, melintas jalan raya yang sibuk.

Ya Tuhan! Bagaimana kalau anak autisme ini dilanyak bas atau lori di tengah-tengah jalan? Maaf, bagi saya, ini bukan seputar soal meminta kemaafan. Ini adalah soal rasa tanggungjawab.

Ini adalah soal amanah yang dikecaikan. Saya benar-benar kecewa. Selepas berbincang panjang, saya dan suami akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan sahaja persekolahan Azal. Biarlah, jika tiada orang yang sudi menjaga Azal sebaiknya, biarlah ibu sahaja yang berkorban menjaga Azal.
Tak tahu jaga anak ke??
“Hei, tak tahu jaga anakkah? Apa wo, minum orang punya air??” Begitu saya pernah dimarah pengunjung restoran kerana abang minum minuman orang lain, di meja orang lain.

Ini bukan situasi ganjil buat saya, dimarah pelanggan kedai adalah perkara biasa, maka adalah tanggungjawab saya merendah diri memohon maaf atas kekhilafan dan tingkah lepas laku anak saya. Jauh di sudut hati, saya rasa hiba, kerana mereka tidak tahu inilah takdir dan nasib seorang anak autistik.
Azal anak yang berdikari, selalu kejut saya bangun solat…
Ya, meski kedua-duanya anak autisme, saya bersyukur, Tuhan tetap mengurniai beberapa kelebihan tidak tersangka. Muhammad Raizal Azrai (Azal) ini berdikari orangnya, pandai membawa diri, rajin bangun pagi, rajin juga bersolat Subuh.

Kalau di set penggambaran, Azal akan menunaikan solat apabila tiba waktunya, tidak perlu disuruh-suruh. Skrip lakonan saya, dialah yang menandanya.

Bangun pagi-pagi, dia pasti mengetuk pintu kamar tidur saya lantas berteriak, “Ibu, ibu, shooting ibu pukul berapa? Ibu sudah solatkah? Mana skrip ibu? Apa lagi barang yang ibu nak bawa ke tempat shooting?”
Azil tidak dapat bercakap, agresif dan hyperaktif…
Azal anak yang prihatin, hatinya penyayang. Dialah orangnya yang menyuapkan ubat kepada abangnya selalu. Abang pula, Muhammad Razil Azrai (Azil) masih bergantung kepada ubat, namun saya tidak lagi mengizinkan Azil mengambil ubat sekerap dulu.

Meski arahan doktor menetapkan bahawa ubat perlu dimakan dua kali sehari (setiap pagi dan malam), tetapi sekarang saya membenarkan Azil mengambilnya separuh sahaja.
Hati meronta nak tahu apa kesan ubat pada Azil, sehinggalah suatu hari…
Takdir Allah yang Maha Mengetahui, yang mengerti betapa hebatnya firasat dan naluri keibuan saya yang meronta, memberontak, menggelepar mahu mencari jawapan.

Maka hendak dijadikan cerita, suatu hari, abang dan adik kembar ini bergaduh dengan teruknya. Muka abang berdarah-darah kerana abang memukul-mukul, menumbuk-numbuk mukanya sendiri. Bajunya basah dilumuri darah.

Melihatkan Azil amuk tidak terkawal, Azal bertindak mahu menenangkan si abang, segera mengambil ubat lantas memaksa si abang menelannya. Biar abang lebih relaks, kata Azal. Mereka masih bertikam lidah. Keadaan bertambah gawat.

Si adik dengan hasrat mahu merawat. Abang terus memberontak. Hati saya panas. Saya akhirnya mengambil keputusan. “Azal, beginilah,” pancung saya, tegas, “Awak tengok ubat ini?” Azal mengangguk. “Awak ambil satu, saya ambil satu. Kita makan sama-sama.”
Ya allah, inikah rupanya kesan ubat yang kami paksa untuk Azil makan setiap hari?
Tidak sampai satu jam selepas menelan ubat penenang itu, saya terus lembik dan terbaring tak berdaya. Serasa satu badan lumpuh serta-merta. Kami saya lembik. Kepala saya berpusing. Mata saya terkatup. Gelap-gelita.

Saya dalam keadaan sedar, ya, tetapi saya tak mampu berjalan walaupun setapak. Subhanallah! Ya Tuhan! Inikah kesan ubat kami paksa Azil telan setiap hari selama ini? Inikah ubat yang telah membisu, menuli dan membutakan segala pancaindera manusiawinya, sehingga dia tidak lemah selemahnya, tidak berdaya?
Saya tidak kisah katil ranap, pintu pecah, asalkan Azil gembira, saya turut gembira…
Ya, walaupun keadaan tidak mudah. Pintu saya berlubang. Pecah dan ranap. Puuuung, paaanngg, puuuung, paaanngg. Bayangkan, dia melompat, menggelinjang, menggelenyar, malah ‘terbang’ di atas katil! Katil abang sudah dua kali pecah dan roboh. Tapi apa boleh buat?

Pernah juga berlaku, dia terjun ke laman rumah dari tingkat dua. Jika tantrumnya datang, dia akan menghantuk-hantukkan kepalanya ke tingkap kereta sehingga cermin kereta pecah dan mukanya berlumur darah.

Ini cuma sebahagian drama air mata dan pahit-getir yang orang tidak nampak. Tetapi saya tabah, saya cekal, saya belajar untuk mengurus dan menangani tantrumnya dengan sabar.

Saya lebih rela melihat dia sihat dan berjalan sana-sini seperti biasa daripada seluruh sistem badannya ‘dilumpuhkan’ dengan ubat. Selepas katilnya ranap beberapa kali, sekarang Azil tidur di lantai saja. Tak mengapalah. Jika itu yang buat abang gembira, saya gembira.

Tag : , , , ,

Komen Anda..

-komen dengan berhemah. terima kasih.
-sila refresh page (F5) untuk komen terbaru..