Saya tidak takut! - Rizal @ Jejai

Pada: Jumaat, 20 Mei 2016
Rizal Ashram Ramli meminta agar pihak polis melakukan siasatan terhadap dakwaan kononnya dia mengganggu dan menceroboh rumah bekas isterinya, pelakon Fasha Sandha tanpa kebenaran seperti yang dilaporkan media sejak Isnin lalu.

Rizal, 40, berkata, dia memohon kerjasama pihak berkuasa agar melakukan siasatan terperinci terhadap laporan yang dibuat oleh Fasha, 32, di Balai Polis Ampang Jaya dekat sini pada petang Isnin lalu atas dakwaan tersebut.

"Saya benar-benar berharap dan meminta pihak polis menyiasat kes ini untuk mengetahui kebenarannya.

"Kalau saya salah, siasatlah! Saya tidak takut dan tiada apa yang hendak disembunyikan," katanya
Jejai berkata, liputan secara meluas oleh media sejak tengah malam Isnin berhubung repot polis oleh bekas isterinya adalah perkara yang memeranjatkan.
"Saya sudah berjumpa dan berbincang dengan peguam berhubung hal ini dan dinasihatkan untuk tidak bercakap banyak dulu.

"Saya sangat malu dan terkejut apabila media melaporkan kes itu sejak semalam dan pada hari ini saya lagi terkejut.

"Apa yang saya boleh tegaskan adalah apa juga yang dilaporkan adalah sama sekali tidak benar. Saya akan ambil tindakan terhadap pihak yang memalukan saya," katanya.
Isu terbaharu ini hangat diperkatakan apabila sebuah blog hiburan pada malam Isnin lalu mendakwa ada beberapa individu melihat kehadiran Fasha bersama peguamnya di balai polis Ampang Jaya dipercayai bertujuan membuat laporan polis kerana sudah tidak tahan dengan gangguan daripada Rizal.

Difahamkan, Rizal, sering memasuki kediaman Fasha tanpa kebenaran dan mengganggu kehidupan Fasha apabila aktres itu bersama rakan-rakannya.

Fasha yang tertekan dengan situasi itu dipercayai mengambil tindakan tersebut untuk perlindungan diri. -mStar Online.

Tag : , , , , , , ,

Komen Anda..

-komen dengan berhemah. terima kasih.
-sila refresh page (F5) untuk komen terbaru..