Awie didenda RM2000 isu Rozana!

Pada: Rabu, 11 Mei 2016
Awie mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bekas isterinya, Rozana Misbun dalam kejadian di kaunter PNB Jalan Tun Razak dua tahun lepas.

Awie menukar pengakuannya kepada bersalah dihadapan Majistret Husna Dzulkifly selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya.

Husna menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan pada prosiding di Mahkamah Majistret.

Mengikut pertuduhan Awie didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana, 38, di kaunter Permodalan Nasional Berhad, Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang 2 Jun 2014.

Awie didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar manakala Awie diwakili oleh Hazman Harun.

Dalam pada itu, Hazman dalam pembelaannya memberitahu mahkamah, anak guamnya insaf dengan perbuatannya itu dan tindakan tersebut bukan sengaja untuk menyakiti pengadu.

Katanya, tindakan Awie itu kerana kecewa dengan bekas isterinya itu apabila wang yang diamanahkan untuk kegunaan masa depan anak-anak lesap daripada akaun simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
"Dia ingin meneruskan kehidupannya daripada kejadian ini dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya malah sepanjang kes berjalan dia memberikan kerjasama baik.

"Malah dia tidak pernah mendekati pengadu selepas kes itu berlaku," katanya kepada mahkamah.
Manakala Rozana pula menerusi kenyataan secara bertulis yang dibaca oleh jurubahasa mahkamah memberitahu berasa trauma sehingga tidak boleh memandang bekas suaminya itu.

Rozana juga berharap Awie diberikan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepadanya. -mStar online

Tag : , , , , ,

Komen Anda..

-komen dengan berhemah. terima kasih.
-sila refresh page (F5) untuk komen terbaru..