Pasal Kicap, Azwan Ali bakal disaman

Pada: Selasa, 19 Januari 2016
Azwan Ali bakal berhadapan tindakan saman oleh syarikat pengeluar kicap milik Bumiputera, Tirana Products Sdn Bhd sekiranya tidak menarik balik kenyataan yang mencemarkan imej syarikat terbabit, sebelum 26 Januari ini.

Menurut peguam yang mewakili syarikat berkenaan, Adnan Seman, pihak beliau telah memberikan notis tuntutan kepada Azwan pada 12 Januari yang lalu dengan beberapa tuntutan yang antaranya ialah menarik semula kenyataan dan video-video yang dimuat naik di laman sosial Instagramnya dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis tersebut.

“Pada 12 Januari kita sudah keluarkan satu surat tuntutan yang mana berkaitan dengan banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh Azwan Ali melalui akaun Instagram beliau menggunakan nama ‘divaazwanavazz’.

“Tuntutan ini selama 14 hari untuk beliau secara ringkasnya pertama untuk mengeluarkan satu kenyataan permohonan maaf secara bertulis dan kepada anak guam kami dan juga untuk mengeluarkan satu akujanji untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan ataupun video yang tidak benar serta bersifat fitnah terhadap produk keluaran anak guam kami.

“Kita juga menuntut permohonan maaf secara bertulis yang disiarkan dalam satu akhbar tempatan. Notis 12 Januari telah dikeluarkan dan beliau juga di Instagram telah memaklumkan telah menerima notis tuntutan dan beliau nampaknya bersedia untuk disaman.

“Di pihak kami memberikan beliau 14 hari maka Azwan ada masa sehingga 26 Januari ini untuk memberikan jawapan dan memenuhi tuntutan yang kami buat, sekiranya beliau tidak memenuhi tuntutan yang diberikan saya akan berbincang semula dengan anak guam sama ada ingin meneruskan saman atau tidak,” katanya di dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, pemilik bersama syarikat ini, Dr Hilmi Murad Mohamed berkata bahawa tindakan Azwan itu memberikan impak yang buruk kepada syarikat mereka dan mengharapkan agar pihak plaintif dapat mengambil langkah untuk menjernihkan kembali keadaan.

Beliau berkata, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Azwan di laman Instagram itu disifatkannya melampau dan dirinya maklum berkenaan perkara tersebut selepas tiga hari iklan mereka disiarkan di televisyen hujung tahun lalu.
“Komen-komen yang diberikan agak pedas dan agak melampau. Kalau pun iklan saya itu teruk, tetapi ada cara untuk kita tegur. Tegur dengan cara beradab, kita orang Melayu dan kita beragama Islam..kita ada cara yang lebih beradab.

“Komen-komen sedemikian tidak mencerminkan peribadi yang baik, dan tidak mencerminkan imej yang baik, dan seterusnya kesan kepada kami mencerminkan imej yang buruk dan juga peribadi yang buruk terhadap jenama kami.

“Kami tidak boleh menerima dalam keadaan macam itu,” katanya.
Dalam masa itu, Hilmi menjelaskan bahawa Datuk Aznil Nawawi bukanlah duta kepada produk berkenaan sebaliknya Aznil hanya terlibat sebagai pelakon di dalam iklan komersil terbabit.
“Dia bukan duta tapi dia terlibat dalam mempromosi iklan kita, jadi jumpa tak jumpa soal syarikat, untuk isu ini tiada perjumpaan dengan Pak Nil,” tambahnya.
Sebelum ini, Azwan di dalam Instagramnya memuat naik komen dan juga video berupa provokasi ke atas iklan komersil Kicap Tirana yang ditayangkan di televisyen dengan menampilkan Aznil Nawawi.

Malah Azwan juga turut mengajak pengikut Instragramnya bersama-sama mengutuk iklan tersebut dengan menawarkan rendang buatannya secara percuma. -bm.therakyatpost.com

Tag : , , , , , , ,

Komen Anda..

-komen dengan berhemah. terima kasih.
-sila refresh page (F5) untuk komen terbaru..