Datuk Seri Vida mahu kalahkan filem Polis Evo

Pada: Rabu, 13 Januari 2016
Selepas gempar seluruh negara dengan pengiklanan luar biasa produk-produknya Pamoga dan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (Vida) bakal tampil dengan filem sulungnya hujung tahun ini.

Menerusi Datuk Seri Vida Production, jutawan kosmetik itu akan menerbitkan filem “Cikgu Online” bagi menyaingi kejayaan filem “Polis Evo”, yang berjaya mengutip kira-kira RM17.5 juta.

“Saya pernah terlibat dengan Mamat Khalid terbitkan ‘Zombi Kilang Biskut’. Saya beri dana. Drama banyak juga beri dana.

“Tetapi sekarang saya punya penerbitan sendiri. Saya akan bermesyuarat dengan Ghaz Abu Bakar, pengarah ‘Polis Evo’. Saya ada keyakinan boleh kalahkan ‘Polis Evo’,” katanya kepada ProjekMMO kelmarin.
“Zombi Kilang Biskut”, yang ditayangkan pada 2014, meraih kutipan RM1.1 juta.

Hasmiza, yang mesra dengan panggilan Dr Vida, berkata filem sulungnya mengisahkan tentang seorang guru yang mendapat inspirasi untuk berniaga secara atas talian.

Filem yang turut menampilkan beliau sendiri bersama keluaran-keluaran kosmetik dan kesihatannya sudah mempunyai jalan ceritanya.
“Ia berkait dengan produk saya juga. Ceritanya tauke jamu dan cikgu online tengok orang jual tudung dan mahu membuka perniagaan sendiri.

“Saya suka Shahnaz Ahmad, Aaron Aziz dan Zul Ariffin tetapi ramai pilih Aaron. Heroin belum ada tapi yang pasti saya berlakon dalam filem itu. Saya nak promosikan produk saya.

“Saya suka lawak spontan. Saya tidak mahu pelawak buat lawak. Saya mahu orang biasa, spontan daripada skrip,”katanya petikan portal themalaymailonline.com.

Tag : , , , , , , ,

Komen Anda..

-komen dengan berhemah. terima kasih.
-sila refresh page (F5) untuk komen terbaru..