Keputusan saman bekas pengurus terhadap Zizan Razak ialah...

Pada: Rabu, 11 Februari 2015
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam mengetepikan saman bekas pembantu peribadi pelawak dan pelakon Zizan Razak terhadap artis itu berhubung pembekuan akaun Wire Fame Entertainment Sdn Bhd.

Hakim Datuk John Louis O’Hara membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Zizan, yang merupakan defendan kedua.

Dalam saman berkenaan, Marina Juki (plaintif) mendakwa beliau mengalami keaiban tetapi tidak menunjukkan bagaimana beliau mengalaminya, kata hakim itu ketika mengumumkan keputusannya.

Beliau berkata plaintif juga gagal mendapat kebenaran untuk memohon tindakan dikenakan terhadap defenden ketiga seperti yang diperlukan mengikut Seksyen 181 A(1) Akta Syarikat.

Hakim itu memerintahkan kos RM10,000 dibayar kepada Zizan dan RM10,000 kepada Maybank Islamic Berhad.

Pada 30 Sept tahun lepas, Marina, 31, menyaman Maybank Islamic Berhad, Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Ab Razak, 31, dan Wire Fame Entertainment Sdn Bhd kerana peranan mereka dalam membekukan akaun syarikat itu.

Wanita itu mendakwa beliau mengalami kerugian besar dari segi wang kerana artis yang bernaung di bawah syarikat berkenaan tidak lagi berminat membaharui kontrak masing-masing memandangkan pembekuan akaun syarikat itu membayangkan ia menghadapi masalah.

Peguam Harjit Sandhu mewakili Marina, manakala Zizan dan Wire Fame masing-masing diwakili peguam Rishwant Singh dan Jimmy Liew. – BERNAMA

Tag : , , , ,

Komen Anda..

-komen dengan berhemah. terima kasih.
-sila refresh page (F5) untuk komen terbaru..