Mahkamah Tolak Permohonan Jimmy Untuk Penjarakan Suhaila

Pada: Rabu, 29 Mei 2013
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam baru-baru ini tidak membenarkan permohonan Jimmy Shanley bagi mendapatkan notis tunjuk sebab terhadap Nursuhaila Ellia Suhaimy berhubung keingkaran bekas isterinya itu terhadap perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka, Zahrah Rania, 2 tahun.

Hakim Syarie, memerintahkan Jimmy selaku pemohon untuk memasukkan afidavit sokongan daripada saksi sebelum mahkamah mendengar permohonan tersebut. Mahkamah mendapati terdapat pelanggaran pada tiga tempoh perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah sebelum ini namun ia perlu disertakan dengan saksi bagi menyokong dakwaan yang difailkan oleh pemohon.

Jimmy pada 7 Mei lalu memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah komital terhadap Nursuhaila bagi memenjarakan bekas isterinya itu atas dakwaan ingkar terhadap perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka.

Dalam afidavit yang difailkan, Jimmy mendakwa Nursuhaila gagal melaksanakan perintah yang dikeluarkan mahkamah yang sama pada 8 April lalu yang memutuskan dia diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu dengan anaknya.

Jimmy dalam saman berkenaan menjelaskan Nursuhaila gagal berbuat demikian pada empat tempoh iaitu pada 9 hingga 11 April, 16 hingga 18 April, 23 hingga 25 April dan 30 hingga 2 Mei lalu.

Hakim bagaimanapun meminta tarikh pertama iaitu 9 hingga 11 April dikeluarkan daripada permohonan kerana faktor Nursuhaila berada di luar negara bersama anak mereka ketika keputusan dibuat sehari sebelum itu.

Mahkamah menangguhkan kes itu pada 25 Jun depan. -mStar

Tag : , , , , ,