Home » , , , , » Pelakon Kerdil Popular 80-an Menderita Sakit

Pelakon Kerdil Popular 80-an Menderita Sakit

Pada: Khamis, 27 Disember 2012
Pelakon kerdil yang popular sekitar tahun 80-an, Radi merayu bantuan pelbagai pihak selepas daging pada kedua-dua belah punggungnya terpaksa dipotong berpunca daripada masalah saraf yang dialaminya sejak empat tahun lalu.

Radi, 50, berkata, lebih malang lagi dia tidak dapat buang air besar secara normal kerana kesan penyakit berkenaan menyebabkan pihak hospital terpaksa menyalurkan usus pada bahagian perut yang ditebuk bagi mengeluarkan najis.

Segala-galanya berpunca ketika dia mengambil kesempatan untuk pulang ke kampungnya di Bagan Baharu di sini dari Kuala Lumpur pada tahun 2008 dengan hanya menaiki motosikal kapcai beroda empat untuk orang kelainan upaya (OKU).

Ketika tiba di kampung yang mengambil masa selama sembilan jam itu, dia tiba-tiba jatuh sakit yang menyebabkan seluruh tubuhnya menjadi kebas.
“Ketika itu saya ingatkan masalah ini tidak serius sehinggalah saya melakukan rawatan secara tradisional iaitu dengan membakar batu bagi tujuan memanaskan bahagian punggung saya untuk menghilangkan rasa kebas.

“Malangnya, batu yang saya bakar itu terlalu panas dan apabila saya duduk, saya tidak menyedari daging pada kedua-dua belah punggung saya itu telah “masak” seperti dipanggang,” katanya
Jelasnya, tidak beberapa lama kemudian daging berkenaan menjadi lebam dan mula membusuk sehingga dinasihatkan oleh doktor agar melakukan pembedahan.

Akibat daripada penyakit itu, dia yang sebelum ini membuka kedai menjual kad prabayar dan telefon bimbit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur hanya bergantung hidup kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal masing-masing sebanyak RM300 sebulan.

Katanya, jumlah itu tidak mencukupi untuk dia membeli plastik sarung najis yang perlu digunakan kira-kira lima kali sehari serta urusan makan minum dan kelengkapan lain yang mencecah lebih RM300 sebulan.

Dia juga terpaksa menyara dua orang anaknya yang berusia 12 dan 17 tahun. Salah seorang anaknya tinggal dengan bekas isterinya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Radi bolehlah menyalurkan sumbangan menerusi Maybank Islamic miliknya menerusi nombor akaun 1583-0533-5259. -sumber

Tag : , , , ,

Komen yang betul-betul negative/promosi dan seumpamanya akan dibanned terus untuk berkomen di sini. terima kasih