Darling didenda RM15,000 atau penjara 3 bulan

Pada: Khamis, 30 September 2010
Pelakon dan penerbit, Nasreen Ngasri atau lebih dikenali dengan panggilan Darling diarahkan membayar denda RM15,000 atau berhadapan dengan hukuman penjara selama tiga bulan, selepas mengaku salah atas tuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen. Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Jagjit Singh selepas menerima pengakuan salah Darling terhadap pertuduhan alternatif yang ditawarkan kepadanya pada Rabu.

Pada penghakimannya, Jagjit berkata, beliau telah mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan secara panjang lebar oleh peguam Darling dan juga balasan pihak pendakwaan. Darling, 27, kelihatan tenang semasa hukuman dijatuhkan. Dia hadir dengan ditemani suami, Nur Azlin Rahmat, 34, dan ibu bapa, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Ogos 2007 di RHB Bank Berhad, Jalan Tun Razak, Cheras. Bagi kesalahan itu, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1999 menerusi drama Selamat Hari Jadi Su III itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama. Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Dia didakwa di mahkamah buat kali pertama pada 6 Februari lalu dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. -mStar

Tag : , , ,